AsSaLaMuALaikUm SeMuA....

First of all....pada semua pengunjung yang terlintas kat sini, atau yang tersesat masuk sini atau secara tak sengaja terlajak kesini atau yang memang dengan senang hati mengunjungi laman ini, saya ucapkan terima kasih kerana sudi singgah. Saya mengalu-alukan komen dari anda para pembaca..tintakan apa sahaja; komen, kritikan, pendapat, pandangan.. insyaAllah semuanya saya terima sebagai galakan yang membina.
~~AriSSa~~
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - Surah Al-Baqarah ayat 216
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan
kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286

Indah Cahaya Fatihah II


Indah Cahaya Fatihah
 
II

 
            “Abang anggap In macam adik abang sendiri. Tak lebih dari tu.”

            Indah diam. Ada rasa pedih yang menyucuk tangkai hati. Namun dikawal agar tidak terserlah diwajah, walau waktu itu tiada siapa dihadapannya untuk dia mengawal riak.

            “Lagipun, abang tak ada niat nak kahwin dalam masa terdekat ni.”

            Tanpa sedar Indah ketawa kecil. “Siapa pulak yang ajak abang kahwin..?”

            Sejenak Abang Luqman terdiam. Jeda. Akhirnya dia ketawa sendiri sebelum kedua-duanya kembali menyepi.

Sesaat..

Dua saat…

Tiga saat..

Hanya kebisuan yang menghuni bicara.

Abang Luqman berdehem perlahan. “In tak menaruh apa-apa harapan pada abang kan.” Lambat-lambat dia menyoal. Menyambung bicara tujuan asal.

            “Abang jangan risau. In pun anggap abang macam abang In sendiri.” Dia menipu diri sendiri. Rasa ngilu kembali bertalu. Mampukah dia untuk menganggap begitu, bila mana hati tidak bersetuju.

            “So, apa yang abang dengar semua ni tak betul kan..?”

            “Apa yang abang dengar?”

            “Pasal Indah..dengan abang. Pasal kita.”

            “Kenapa pasal kita.”

            “Orang bercakap In. Kak Mas, Kak Aishah, Abang Sham dan semua..”

            “Biarlah orang nak bercakap. In tak kisah.”

            “Ok. Abang harap In tak termakan cakap orang. Abang cuma harap In kekal jadi adik abang sampai bila-bila.”

            “Anggaplah harapan abang dah tercapai bila abang cakap macam tu.”

            “Good. Abang tau In faham abang.”

            Indah mengangguk lemah. “Hmm..”

            “Ok lah. Abang nak letak dah ni. Assalamualaikum.”

            “Waalaikumusalam.” Talian dimatikan. Dia merenung kosong Samsung hitam ditangan. Tanpa sedar ada air jernih yang mengalir dipipi. Sengaja dibiarkan menitis terus. Kenapa nasibnya selalu begini. Tak layak sangat kah dia untuk bertahtah dihati lelaki itu.

Baru semalam dia memasang angan-angan agar dirinya dapat bersemi di hati lelaki itu. Baru semalam dia berhasrat agar hubungan itu terus kekal terbina atas ikatan yang abadi. Baru semalam dia bermimpi semoga bahagia yang dirasai terus kekal selama-lamanya. Baru semalam… dan hari ini semuanya sekadar tinggal angan-angan… hatinya berkecai bagai tercampak ke lembah yang paling dalam.  

            “Innn….” Bersama panggilan yang panjang itu, pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Cepat-cepat dia menyeka pipi yang kebasahan. Tak nak nanti kecoh pulak satu rumah kalau nampak dia menangis.

            “Innn…”

            “Ya.. Masuklah Mira, pintu tak kunci pun.”

            “Laa..aku ingat kunci. Bersungguh-sungguh aku ketuk panggil kau.” Amira bersandar di pintu bilik yang telah dibuka luas.

            “Kau tu memang macam tu. Suka buat kesimpulan sendiri kan. Kenapa ni?”

            “Aku dengan Jiha nak keluar makan. Kau nak ikut tak?”

            “Macam malas la.”

            “Ala..jom lah. Kau duduk rumah pun buat apa, nak mengadap kerja yang tak habis-habis tu.” Bibir dah menjuih pada kertas-kertas kerja yang bertimbun atas meja kerja Indah.

Indah turut sama membawa pandang pada kertas kerja yang baru dibawa pulang petang tadi. Pada mulanya memang dia bersemangat nak menyiapkan semua kerja yang tertangguh, tetapi kesedihan yang dikhabarkan oleh abang Luqman tadi, mematikan terus niat murninya itu. Teringat ayat abang Luqman, hati kembali seperti mahu menangis, dan sebelum hati yang rawan terus berlagu hiba, ada baiknya dia keluar untuk melupakan seketika kisah sedih itu.

“Ok lah, aku ikut. Tunggu aku siap kejap.”

Amira sengih, sambil ibu jari diangkat tinggi membawa tanda ‘Ok’. “Aku tunggu kat bawah.”

 

 

*****

            Selepas perbualan melalui telefon tempoh hari, dia terus menyepi diri. Baik Indah mahupun abang Luqman, kedua-duanya seperti tidak mengenali antara satu sama lain lagi. Dari sudut ruangan kerjanya, Indah menjeling ke meja tempat duduk Abang Luqman. Lelaki itu sedang tekun dengan tugasannya. Meja kerjanya dan meja kerja orang yang disana hanya dipisahkan dengan beberapa ruang kerja rakan-rakan yang lain. Indah hanya perlu menegakkan kepalanya sahaja untuk melihat lelaki itu.

            Kalau dulu dia sering berbalas pandang, bertukar senyum setiap kali pandangan mata bertaut. Belum lagi chit chat bersama lelaki itu yang selalu sahaja menemani hari-harinya. Kini semua itu hanya tinggal kenangan, walaupun yang mencipta kenangan itu masih wujud di depan mata. Abang Luqman seolah-olah membuat dirinya bagai tidak wujud lagi. Indah faham maksud permainan itu. Lelaki itu tidak mahu lagi dilihat sangat rapat dengan dirinya, sebab itu jurang antara mereka sengaja diwujudkan.

            Indah menarik nafas panjang, Dalam. Sabarlah wahai hati, redha lah dengan keadaan yang telah ditentukan ini. Dia bukan milikmu, Indah. Dan tidak mungkin akan menjadi milikmu. 

            “In, makan jom.”

            Indah tersentak, tersedar dari lamunan yang panjang. Melihat Mira yang sudah bersiap sedia, dia menghantar isyarat tunggu sekejap. Laptop dimatikan, purse dicapai, dan dia terus bangun berlalu dari situ. Membiarkan kenangan yang menghantuinya tadi tertinggal disudut ruangan kerjanya itu.

            Mengambil tempat disuatu sudut direstoran, hatinya berdegup laju, bagai ada sesuatu yang tidak enak bakal berlaku. Indah tidak mengerti. Dia membuang pandang ke sekeliling, sebelum pandangannya terhenti pada punca hatinya tidak berdegup sempurna. Abang Luqman sedang enak menjamu selera dengan seorang wanita cantik, cukup sempurna pada pandangan mata.

            “In.” Mira mencuit lengannya. “Jangan fikir lain lah, client abang Luqman kot tu.”

            Indah senyum segaris, sambil menggeleng perlahan. Mira tidak tahu kisah yang berlaku minggu lalu. “Tapi instinct aku cakap bukan teman biasa Mira.”

            “Apa kau merepek ni..?”

            Dan kisah pada malam hatinya dilenyek dengan lori 100 tan sebelum dicucuk-cucuk dilukai diperdengarkan kepada teman baiknya itu. Air mata perlahan menitis.

            Amira terkesima mendengar cerita Indah. Tidak percaya mungkin. “Tapi…”  Pandangan mata Amira dibawa sejenak kepada pasangan dihujung sana, sebelum kembali melihat wajah Indah. “Tapi, aku tengok dia rapat sangat dengan kau.. Tak kan lah..” Amira terdiam lagi. Tidak tahu bagaimana untuk meluahkan rasa.

            “Dia anggap aku macam adik dia je Mira.” Sambil menyeka air mata yang mengalir, Indah bersuara perlahan.

            Amira menggeleng. Sukar untuk memahami situasi yang sedang dialami oleh teman karibnya tika itu. “Aku tak faham. Korang bergaduh ke?”

            Indah geleng. “Pernah ke kau nampak kita orang gaduh.” Dia diam. Menarik nafas dalam, mencari kekuatan untuk bertenang, sebelum bicara disambung kembali. “Kalau kau tak faham, aku lagi tak faham Mira. Dia layan aku baik sangat. He treats me like I’m special. But end of the day, I’m just like his sister.” Air mata yang telah surut sebentar tadi kembali bergenang. “Seriously, aku tak faham, tapi siapa aku nak tanya soal hati dan perasaan dia. Lagipun kita orang tak pernah sekali pun bercakap soal hati dan perasaan sebelum ni.”

            Amira mengusap lembut bahu Indah, memberi ketenangan buat temannya itu, memberi kekuatan untuk Indah terus bersabar. “Sabar In. Sooner or later you will find the answer.”

            “Aku sayang dia Mira.” Perlahan bawah sedar ayat itu meluncur dari bibir Indah. Sedalam mana dia cuba berlagak biasa, namun sepotong hakikat itu benar-benar menyesakkan hatinya.

            Just let it go.”

            “Just can’t.”

            “Let if go, In..”

 

 

*****

            Melangkah mendekati sudut kerja, sekeping sampul surat berwarna kuning keemasan menarik perhatiannya. Kening mula terangkat sedikit. Apakah..

            Sampul surat itu dibuka perlahan. Bau harum wangi mula menerpa saluran pernafasan. Ditarik keluar isinya, spontan jantung mula bergerak laju. Nama yang tertera bagai menghentikan waktu tika itu. Adam Luqman – Sarah Aishah. Tangkai hati mula terasa dicucuk kembali. Tidak cukupkah hati ini dilukai, kenapa perlu dihiris lagi.

            “In.”

            Indah berpaling. Segera ditarik diri kembali berpijak dibumi nyata.

            “Abang nak jemput In ke majlis perkahwinan abang hujung bulan ni. In datang nanti ye.”

            “InsyaAllah.” Hanya itu yang mampu diungkap.

            “Dah lama abang tak berbual dengan In kan.”

            “In faham abang sibuk.”

            Dari hujung mata Indah lihat Abang Luqman mengangguk perlahan. “Betul abang sibuk sikit sekarang ni. Dengan kerja, dengan majlis kahwin lagi. In tak pernah jumpa dengan Sarah lagi kan. Nanti datang ke majlis abang nanti, boleh lah abang kenalkan.”

            Indah hanya diam. Membiarkan sahaja abang Luqman yang berbicara.

            “Abang tak plan pun nak kahwin sebenarnya. Kali pertama jumpa dengan Sarah dulu, abang terus jatuh hati. Tak pikir panjang pun, balik kampong jumpa mak ayah Sarah dan that its, kami bertunang dan bakal berkahwin. Tak sangka pun akan berkahwin secepat ini.”

            “Bila abang jumpa dengan Sarah.”

            Abang Luqman diam sejenak, seperti sedang mengira sesuatu. “Hmm..dua bulan lepas kalau tak silap.”

            Zapp…dua bulan lepas. Indah pula terdiam sendiri. Bukankah dua bulan yg lalu adalah kejadian dimana hatinya dilenyek dengan lori 16 tayar. Indah seperti mula memahami sesuatu.

 

 

*****                         

            Dari jauh dia melihat pasangan bahagia itu bergembira. Dia cuba mengajar hati agar terima dengan redha segala yang berlaku. Dari abang Luqman, dia belajar erti bahagia. Dari abang Luqman dia belajar berkasih. Dari abang Luqman dia rasa diri disayangi. Dari abang Luqman juga dia rasa pintu hatinya diketuk buat pertama kali. Tapi siapa sangka, kasih sayang abang Luqman rupanya bukan seperti yang diharapkan. Sayang abang Luqman padanya cuma sayang seorang abang pada seorang adik, walau hatinya sendiri berperang hebat mengatakan cintanya hanya untuk lelaki itu seorang.

            Dalam sendu dia menarik nafas dalam, cuba mengusir semua kesengsaraan yang mula mahu bertapak dihati. Kenapa walau bibir berkata tidak, namun hati gagal menurut rentak. Kenapa walau mulut berkata tiada apa-apa, namun hati bagai sedang dilanda gelora. Ya Tuhan..beri aku kekuatan. Mata dipejam rapat.   

            “In..kau ok?” Amira menggengam erat bahu Indah.

            Indah berpaling. Senyum diukir segaris. Kepala diangguk perlahan.

            “Sure?”

            Diam. Betulkah dia ok. Dia sepatutnya ok sewaktu empat bulan yang lalu, sewaktu ayat pertama yang diucap oleh abang Luqman.

            “Kau kene lepaskan, In. Sampai bila…” Perlahan Amira bersuara. Namun suara yang perlahan itu membawa maksud yang cukup mendalam. Cukup dia faham.

            Dia memandang wajah Amira. Temannya yang seorang ini cukup memahami. “Aku ok mira. Kau jangan risau. In fact, kalau aku tak ok aku tak kan datang sini kan.” Dia senyum. Kening diangkat. “Kalau aku tak ok, tak kan aku sanggup nak tengok dia bersanding kan. That means, aku ok..”

            Amira merenung tajam wajah Indah. Kening sudah bertaut rapat. Betul ke kawan aku sorang ni. Indah yang dia kenal tak kan semudah itu melupakan cintanya. Tapi kalau betul cinta itu telah pudar, atau sedang dalam usaha untuk dipudarkan, dia sentiasa memberi sokongan pada Indah.

            Indah kembali membuang pandang pada pasangan bahagia di hujung sana. Cinta pertama bukan untuk dilupakan. Walau cinta itu tidak dimiliki, namun doa akan sentiasa mengiringi. Dia akan terus berdiri. Walau indah cinta pertamanya tidak sempurna, namun itu bukan penamat segala-gala. Aturan Ilahi itu lagi indah dari apa yang hamba-Nya inginkan. InsyaAllah…

 

~  T.A.M.A.T ~

Indah Cahaya Fatihah I


Indah Cahaya Fatihah
 
I

Suka tak semestinya cinta,

Cinta tak semestinya memiliki,

Memiliki tak semestinya kekal selama-lamanya,

Lalu ada apa pada cinta, jika yang indah itu tidak pernah sempurna..

 

 

            “Indah.”

            “Indah..?? Apa yang indah?” Lelaki itu terpinga sendiri.

            “Indah Cahaya Fatihah.”

            “Cahaya apa yang indah..??” Lagi terpinga-pinga jadinya lelaki yang sedang berdiri tegak dihadapan itu. Dia menoleh ke luar, melihat melalui tingkap yang luas.. cahaya matahari ke..

Tanpa sedar Indah sudah tertawa geli hati. Walau bukan sekali dia melihat reaksi sebegitu, takkala namanya diperkenalkan, namun reaksi yang ditunjukkan oleh lelaki itu sangat-sangat mencuit hati. Comel, hatinya mengiyakan.

Melihat gadis itu ketawa tiba-tiba, lagi membuat dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Apa yang kelakar. “Err…maaf.” Sangat perlu rasanya membuat gadis manis itu berhenti bersuka-hati.

“Owh…sorry.” Indah berdehem perlahan. Memperbaiki reaksi. Sedar kesilapan diri.

“Saya Adam Luqman Iskandar. Boleh panggil Luqman je.”

“Nama saya Indah Cahaya Fatihah Mohamad Fadzil.”

“Owh..so yang indah-indah tadi tu nama awak ke?”

“Yup.” Indah senyum. Menyembunyi rasa lucu yang masih berbaki.

“Nak panggil apa?”

“Indah.”

“Memang indah.”

“Apa yang indah.” Dia pula kembali menyoal.

“Sinar cahaya matahari hari ini, sangat indah.” Bersama senyum sungging dihujung bibir, Luqman meninggalkan Indah disitu.   

Spontan Indah kembali mengukir senyum.

Perkenalan yang indah itu berlaku setahun yang lalu. Saat mula-mula dia menjejak kaki di bangunan pejabat ini. Saat dia mula menjadi sebahagian dari keluarga yang besar ini.

 Dari jauh dia melihat abang Luqman berjalan mendekati meja yang sedang didudukinya sambil membawa dua gelas air tembikai.

“Nak makan apa?”

Dia geleng. “Kenyang lagi.”

“Tak nak makan langsung ke?”

Geleng lagi. “Tak nak lah. Minum je.”

“Nanti jam 4 jangan mengadu dengan abang cakap lapar pulak.”

Dia sengih. Abang Luqman memang faham dengan perangainya. Masa rehat tengah hari tidak mahu makan, nanti petang baru dia bising mengadu kelaparan. Dan yang selalu menjadi mangsa mendengar rintihannya, tak lain abang Luqman yang sentiasa ada walau dalam keadaan apa pun.

Abang Luqman yang selalu ambil berat soal dirinya. Abang Luqman yang selalu ada bila diperlukan. Abang Luqman yang selalu prihatin dengan dirinya. Abang Luqman yang selalu membuat hati kecilnya berbisik bahagia. Indah memandang lelaki dihadapannya itu menjamu selera.

“Amboi..bahagianya merpati dua sejoli ni.”

Terlihat Kak Mas yang menegur, Indah melempar senyum. “Duduklah kak, makan sekali.”

“Boleh juga.” Kak Mas menarik kerusi.

“Akak dengan siapa lagi.”

“Akak seorang je. Biasa makan dengan Suzana. Tapi Suzana cuti pulak hari ni.”

“Ohh..”

“Kamu tak makan Indah.”

“Pagi tadi dah makan berat. Rasa kenyang lagi.”

“Akak tengok kamu berdua ni rapat sangat. Macam belangkas. Mana ada Luqman, adalah Indah. Mana ada Indah, adalah si Luqman ni.”

“Mana pulak kak. Biasa saya makan dengan Mira, tapi hari ni Mira ada meeting kat luar, tak masuk office..itu yang berdua je dengan abang Luqman ni.”

“Haah Kak Mas.. Kita orang takde la rapat mana pun. Dengan staff lain pun rapat jugak.” Abang Luqman pulak menyokong.

“Hmm…ye lah. Akak ni lagi dulu makan garam dari korang. Akak doakan korang bahagia berdua.”

Abang Luqman menjeling Indah dihadapan. Indah yang faham akan jelingan itu sekadar mengangkat kening sambil kembali menghirup air yang masih berbaki. Menikmati air tembikai dalam keadaan cuaca yang panas ini lebih memberi manfaat dari menyangkal gosip liar teman sepejabatnya.

Indah sedar bukan sekali dua dirinya dikaitkan dengan abang Luqman. Bukan sekali dua juga dirinya soalan mengenai hubungan rapatnya dengan Abang Luqman diperkatakan. Telah berkali-kali. Dan telah berkali-kali juga dia sedar abang Luqman tidak selesa dengan keadaan itu.

Tapi bagi dirinya, dia selesa dengan keperihatinan abang Luqman. Dia tidak pernah kisah apabila ada sahaja insan yang mempersoalkan akan hubungan mereka. Sebaliknya setiap soalan itu diiringi dengan doa semoga hubungan yang terbina bukan sekadar teman baik semata-mata.   

 

 

*****

            “In kat mana ni?” terdengar suara cemas abang Luqman, di suatu lewat petang.

            Stuck di office.” Lemah dia menjawab. Melihat hujan yang bersungguh-sunguh turun menimpa ke bumi, hatinya turut sama menangis.

            “Kenapa tak balik lagi.”

“Hujan.” Hanya itu jawapan yang mampu diberi. Dia kembali melihat ke dada langit. Bagai tidak ada tanda hujan yang menggila ini akan berhenti. Semakin sedih apabila mengenangkan dirinya akan pulang menaiki tren. Kalau tahu akan hujan selebat ini, sudah pasti mirage kesayangan tidak akan ditinggalkan dirumah. Alahai, hati kembali menangis.

Untuk menaiki tren, dia perlu berjalan sekurang-kurangnya 10 minit ke stesen berhampiran. Dan perjalanan selama 10 minit itu, dalam keadaan hujan yang menggila ini bermaksud mengundang demam selama seminggu. Aduhai.. sang hati mengeluh lagi.

            “Datang kerja tadi naik apa?”

            “Tren.”

            “Lah..kenapa tak bawak kereta?”

            “Malas nak drive.”

            “Hmm.” Terdengar keluhan abang Luqman.

             Hmmmm.. dan lagi panjang keluhan dia apabila terlihat dari jauh bumbung stesen LRT yang sepatunya dituju.

            “Tunggu situ, abang datang.”

            “Sungguh ke?” bagai kanak-kanak yang dapat gula-gula, dia gembira seperti tidak percaya. “Sungguh ke abang nak datang..?” baiknya abang Luqman, dan hatinya jatuh buat kali yang ke sembilan puluh sembilan.          

            Lima puluh minit kemudian, Indah selamat tiba dirumah. Setelah memberi ucapan terima kasih yang panjang, dia menghantar abang Luqman pulang dengan pandangan yang sungguh terharu. Hatinya berbunga melangkah masuk ke dalam rumah.

            “Kau baru balik ke In?” Mira menegur sebaik Indah menutup pintu.

            “Hmm..” Indah merebahkan diri di sofa bertentangan dengan teman serumahnya.

            “Abang Luqman hantar?”

            “Hmm. Aku tak bawak kereta pagi tadi kan. Aku ingat kau masuk office, boleh balik dengan kau je.”

            “Tak. Meeting habis lewat tadi. Aku terus balik.”

            Indah diam. Teringat kan abang Luqman, senyum terukir dibawah sedar.

            “Dah kau kenapa pulak senyum sorang-sorang ni.” Mira pandang pelik.

            Lagi mekar senyum yang terlihat. “Ntah la Mira. Teringat kat abang Luqman.”

            Kening Mira terangkat sebelah. “Explain please.”

            “I think…” Dia diam sejenak. Mencari ayat yang sesuai.

            Lagi tinggi kening Mira menyoal. “I cannot read your mind In. Describe in word please.”

            Indah membawa pandang ke wajah Mira. “I think I like him.” Senafas dia bersuara.

            “Owwhhh…” Panjang mulut Mira membentuk huruf ‘O’. “In which way..?”

            Don’t know. Hard to explain.” Senyum simpul tidak lekang dari bibir. Rasa bahagia berbunga-bunga.        

            “Elok la tu. Aku tengok dia pun ambik berat dengan kau. Kalau bukan sebab ada perasaan kat kau, tak kan dia layan kau macam tu kan.”

            “Kau rasa pun macam tu ke..?”

            Mira mengangguk perlahan. “Aku doakan yang baik-baik je untuk kau.”

            “Thanks Mira..” Harapannya setinggi gunung agar bahagia yang dirasai kekal bersamanya.