AsSaLaMuALaikUm SeMuA....

First of all....pada semua pengunjung yang terlintas kat sini, atau yang tersesat masuk sini atau secara tak sengaja terlajak kesini atau yang memang dengan senang hati mengunjungi laman ini, saya ucapkan terima kasih kerana sudi singgah. Saya mengalu-alukan komen dari anda para pembaca..tintakan apa sahaja; komen, kritikan, pendapat, pandangan.. insyaAllah semuanya saya terima sebagai galakan yang membina.
~~AriSSa~~
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - Surah Al-Baqarah ayat 216
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan
kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286

Chempaka Aleeya - Bab 1

:: Bab 1 ::

Aleeya mengunci pintu rumah, mencapai kasut sambil melemparkan senyuman pada Amir yang menanti di sebalik cermin kereta perdananya. Pintu pagar sekadar ditutup rapat, kerana nanti mungkin teman serumahnya, Salina atau Maisara akan pulang.
"Sorilah lambat skit, terlambat bangun pagi tadi" Amir memandu perlahan menuju ke jalan besar. Matanya sempat menjeling jam di dashboard kereta, 11.15 pagi. Sepatutnya dia janji menjemput Aleeya jam 10.30 pagi.
"Takpe, saya pun baru siap? nak pergi mana ni?"
"Kita pergi lunch lah, dah nak tengahari pun. kat Subang."
"Subang, jauhnya nak pergi lunch? Nak jumpa sesiapa ke?" Aleeya memandang wajah Amir. Sedikit pelik. Namun Amir disebelahnya hanya tersenyum. Melihat Amir yang hanya berdiam diri, Aleeya turut tidak bersuara lagi. Pandangannya dilemparkan keluar. Tiba-tiba telefon bimbit Amir berbunyi dan pantas sahaja Amir menjawab panggilan si pemanggil.
"Kat highway, Baru keluar dari setapak." terdengar perbualan Amir dan si pemanggil.
"Ada kat mana”
“Nak pergi lunch”
“Hmm, boleh"
Mungkin urusan pejabat, hati Aleeya berdetik. Pandangannya dilempar kembali keluar. Hari cuti begini rata-rata warga kota akan keluar mengisi masa yang terluang bersama keluarga. Lihat sahaja di highway ni, belum pun tengahari, dah banyak kereta atas jalan raya. Biasanya hari-hari bekerja jarang ada masa untuk keluar bersiar-siar, jadi hari cuti lah masa yang sesuai untuk melupakan kerja-kerja pejabat. Dia sendiri sebenarnya sedang menggunakan masa yang ada untuk menghilangkan tekanan di pejabat.
"Hai, jauh termenung." Amir menegur. Aleeya tersentak, terkejut sedikit dengan teguran Amir.
"Mana pulak saya termenung. Dah takde apa nak cakap, diam jelah"
"Nak ikut tak nanti?"
Aleeya termangu sendiri. Tidak faham apa soalan yang diajukan. "Ikut? Pergi mana?" jawapan berupa soalan diajukan kembali kepada Amir.
" Tadi cakap bukan termenung, ni kenapa tanya balik kat kita?"
Senyum sumbing terukir dibibir. "Tak dengar. apa awak cakap tadi"
"Saya cakap, hujung bulan ni pejabat saya buat annual dinner. Awak nak ikut saya tak?" Amir mengulang kembali soalannya tadi
"Hujung bulan ni?"
"Hmm...Sabtu malam ahad. kat Meridian Hotel. Awak ikut saya nanti ya."
"Kalau takde hal bolehlah"
"Macam tak sudi je. Ada hal lain ke?"
"Bukan tak sudi. Nanti apa pulak kawan-kawan pejabat awak fikir. Saya ni asyik berkepit je dengan awak. Semalam pun masa kita makan malam, kan terserempak dengan officemate awak"
"Awak takut diorang pikir apa sebenarnya?" Amir memandang sekilas wajah Aleeya, sambil membetulkan kedudukan keretanya di tempat parking. Enjin dimatikan.
"Takut diaorang fikir lain pasal kita. Lagipun kenapa awak tak ajak Marisha je?" Aleeya menanggalkan tali pinggang keledar yang mengikatnya sejak tadi, membuka pintu dan melangkah seiringan dengan Amir. Perbualan mereka tadi hanya tamat disitu sahaja. Melihat Amir pun tidak berminat untuk memanjangkan perbualan itu, Aleeya pun tidak berniat untuk meneruskan lagi. Mungkin nanti bila tiba masa yang sesuai, perbincangan itu akan dibangkitkan semula.
Sambil menolak daun pintu restoran mewah itu, mata Amir melilau melihat sekeliling seperti mencari seseorang. Pelayan restoran yang bertugas ketika itu datang mendekati.
"Selamat tengahari encik. Meja untuk berapa orang?"
"Takpe. Saya dah janji dengan orang. mereka tengah tunggu saya." Amir pantas menjawab
"Ooh..dua orang wanita ke encik?"
"Ya"
"Mereka disebalik dinding kaca sana. Meja nombor 39"
"Baiklah. Terima Kasih. Leeya, jom."
Aleeya menuruti langkah Amir. Sangkanya dia akan menjamu hidangan tengahari berdua sahaja dengan Amir seperti selalu tapi tak sangka pulak Amir membuat janji dengan client. Mungkin pangggilan yang diterima dalam kereta tadi adalah clientnya. Disebalik dinding kaca yang dimaksudkan oleh pelayan tadi, kelihatan dua orang wanita sedang duduk menanti. Seorang wanita muda berpakaian jeans dan blause dan seorang lagi seorang wanita separuh usia yang cantik bergaya. Kedua-duanya tersenyum ceria menyambut kedatangan Amir dan Aleeya. Amir bersalaman sambil tunduk mencium tangan sebelum dipeluk erat oleh wanita separuh usia itu. Aleeya keras ditempat berdirinya..Tak rasa pun nak bersalaman dengan wanita yang seorang lagi. Keningnya terangkat sedikit. Apehal ni? Siap salam cium tangan. Pagi raya ke?
"Ibu, ni Aleeya. Leeya, ni ibu saya, baru sampai dari Sarawak." Hampir saja terjatuh rahang Aleeya kebawah, tapi nasib baik sempat dia mengawal keadaan. Senyum mesra diukir dibibir. Seboleh mungkin dia mengawal rasa terkejutnya. Hujung mata menjeling Amir, lawak versi apa yang awak buat tengah-tengah hari buta ni. Nasib baik aku berpakaian kemas sikit hari ni.
"Apa khabar makcik?" dikucup lembut tangan wanita itu.
"Baik. Duduklah. Aleeya sihat?"
"Alhamdulillah."
Aleeya mengambil tempat, duduk menghadap Pn Mastura bersebelahan Amir. Serentak itu seorang pelayan datang mengambil pesanan.
"Hai..perkenalkan kat ibu aje ke?"
"Oopss..terlupa.. Leeya, yang ni adik saya, Adreanna" sambil memunjungkan mulut ke arah wanita muda dihadapannya.
Adreanna menghulur tangan berjabat salam. "Panggil Anna je, kak Leeya."
"Anna pun baru sampai dari Sarawak ke?"
"Eh, taklah. Anna memang duduk sini, kat Ampang. Duduk menyewa dengan kawan-kawan"
"Ooh..iya ke. Amir tak pernah pulak cerita ada adik perempuan kat KL ni."
"Abang Mir ni memang macam tu kak Leeya. dia ingat kerja dia je, mana nak ingat orang lain."
"hah..pandai kamu mengata abang." Amir menjeling adiknya. "Pukul berapa flight ibu sampai tadi"
"Pukul 11 sampai KLIA."
"Kenapa ayah tak ikut sekali bu?"
"Banyak lagi kerja yang tertangguh kat sana. Tak kanlah nak harapkan si Lissa tu sorang. Biarlah ibu sorang yang cari barang kat sini"
Tak sampai sepuluh minit, makan yang dipesan tadi tiba.
"Leeya, makanlah. Jangan malu-malu" ibu Amir bersuara.
Aleeya tersenyum kecil. Rasa segan pulak tiba-tiba. Tak pernah dibuat menghadap ibu si Amir. Ntah lawak jenis apa lah yang si Amir ni buat tiba-tiba lunch dengan mak dia pulak. Dah tu bukan nak inform kat aku awal-awal. Boleh lah jugak aku stand by. Stand by apa Leeya? Stand by alasan untuk menolak..hahaha…Leeya stop it, back to the sceen. "Lama ke makcik kat sini."
"Tak lah. sampai hujung minggu depan. Datang sini pun sebab nak cari barang-barang hantaran untuk Anna."
"Ooh. Anna nak kahwin ke? bila?"
Anna ketawa kecil. "Belum lagi kak Leeya. Bertunang dulu. Kalau takde aral Insyaallah bulan Mac nanti."
"Eloklah, buat persiapan awal-awal. Takdelah kelam kabut nanti."
"Leeya asal mana?" Pn Mastura memandang wajah dihadapannya. Amir menoleh sekilas melihat wajah ibunya. Start dah sessi interview bersama ibu.
"Kampung saya kat perak, makcik. Ipoh." Sambil hujung mata menjeling Amir disebelah. Kenapa saya nampak senyum sinis segaris kat muka awak tu.
"Dah lama tinggal di KL ni?" Soalan yang kedua.
"Saya kerja kat sini baru lagi, 2 tahun. Sebelum ni saya belajar pun kat sini jugak."
"Ooh..dah biasa lah duk kat kl ni ya, kak Leeya." Anna menyampuk.
"Tak jugak Anna, sebelum ni masa belajar duduk hostel. sekarang ni dah kerja duk menyewa, mana sama."
"Sekarang ni Aleeya kerja kat mana?" Lagi soalan Pn Mastura menyerang.
"KL makcik, KWSP"
"Jauh jugak lah dengan tempat kerja Amir ya. Kamu kat putrajaya kan Mir?"
"Hmm.." Amir kembali menghirup sup. Malas nak campur bila orang perempuan bersembang.
"Pergi kerja Amir hantar ke?" Dan seterusnya…
Leeya dah mula pelik. Dijeling Amir dengan hujung mata. Mak awak ni kenapa? "Tak lah makcik, saya pergi kerja sendiri. balik kerja pun sendiri."
"Dah lama ke kenal Amir ni?" Dan lagi..
"Tak lah lama sangat, adalah dalam setahun lebih."
“Setahun lebih? Lama jugak lah tu, baru sekarang kamu perkenalkan kat ibu, Mir.” Pn Mastura menjeling anaknya sebelum menyambung bicara “Adik-beradik Leeya berapa orang?”
“Empat. Saya yg sulung.” Aduh…dan macam sesi temuduga mintak kerja je. Sila perkenalkan diri anda dan latar belakang anda.
“Ibu dengan ayah Aleeya bekerja ke?”
“Ayah dah bersara, sekarang buat bisnes kecil-kecilan. Ibu pula memang tak bekerja.” Lagi sekali dia menjeling Amir. Sudah-sudah lah hirup sup tu. Apasal mak awak ni, macam menyoal bakal menantu je?.
"Ibu, dah lah tu. Takut pulak jadinya Aleeya ni, ibu soal dia macam-macam." Amir yang menyedari jelingan Aleeya tadi bersuara.
"Laa, takut kenapa pulak. bukannya ibu tanya soalan pelik-pelik." Sambil berpaling menyapu bersih wajah Aleeya Pn Mastura bersuara lagi. "Aleeya, nanti datang lah ke rumah makcik di Sarawak, boleh kenal-kenal dengan adik beradik Amir yang lain"
"Insyaallah. kalau saya pergi kesana, bolehlah saya singgah rumah makcik. Pejabat saya pun kadang-kadang hantar staf kesana untuk kursus."
"Eh, kenapa pulak nak tunggu ada kursus kat sana. Ambiklah cuti, datang sana, tidur rumah makcik empat lima malam"
"Insyaallah makcik. kalau ada rezki sampailah saya kesana. kalau ikut kan hati, memang lah teringin jugak nak melawat tempat orang tapi tak berkesempatan lagi makcik."
"Hmm. datang tau. Amir balik masa kenduri pertunangan Anna nanti, Aleeya ikut lah sekali. Boleh kenal-kenal budaya dan adat orang Sarawak. Makcik dulu pun asal dari semenanjung jugak, tapi bila ayah Amir ditukarkan tempat kerja, Makcik sekeluarga pun ikut lah berpindah. sekarang ni dah 10 tahun jugak lah kami menetap kat sana."
"Oh..Macam tu ke. Patut lah cara bercakapan makcik tak macam orang sarawak ya"
"Memang lah, makcik asal johor. Sebab tu ramai saudara mara kami di semenanjung ni. Eh pukul berapa dah ni. Lepas ni makcik nak ke Shah Alam, rumah adik makcik, nak hantar baju. Jom Anna kita gerak, lambat pulak nanti.”
“Iya lah ibu. Jumpa lagi kak Leeya.”
“Okey.” Aleeya menyambut huluran tangan Adreanna. Dan kemudian dia bersalaman dengan Pn Mastura pula. “Jumpa lagi makcik.”
“Nanti Aleeya datang rumah makcik ya, boleh kita sembang panjang.” Sekali lagi Pn Mastura meninggalkan pesan, begitu berharap agar Aleeya dapat menjejakkan kaki ke rumahnya.
“Insyaallah makcik.”
Pn Mastura mengangguk pelahan. Akur dengan kata-kata Aleeya. Gadis didepannya ini tidak berani memberi janji, hanya ‘Insyaallah’ kata yang diberi. Mungkin dia takut kalau tak dapat menunaikan janji. Sekali lagi wajah bersih Aleeya dipandang lembut sebelum menoleh pada wajah anak terunanya. “Mir, kamu tak ke rumah Mak Lang nanti? Ibu mungkin tidur sana malam ni. Esok pagi ibu bertolak ke JB, rumah Mak Long.”
“Tengok lah dulu ibu. Kalau takde hal, nanti orang pergi lah ke sana malam ni.”

1 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..permulaan yg baik dalam cter ni...